(artikel ini saya tulis atas permintaan seorang teman
di kaherah sempena piliharaya perubatan yang pasti ia belum tersiar lagi dan
mungkin tak tersiar)
Pilihanraya Perubatan: Manusia setengah
dewa?
Oleh: les rêveurs*
1.Salakan pertama Buat pelajar perubatan
Dari semut takkan lahir seorang sulaiman yang brilian!
Begitulah kritikan pedas Allamah Muhammad iqbal dalam bait puisinya, Payam-e masyriq yang mengkritik tajam system demokrasi/pilihanraya. Sejak berkurun lalu, manusia acapkali berbincang tentang teori politik, corak-gaya pemerintahan dan Negara idaman.Bermula yang paling awal yang saya ketahui, Negara idaman itu dicirikan oleh plato dalam karyanya The Republic dan dibincangkan berabad oleh para leluhur setelahnya, kemudian disusuli dengan kedatangan islam, ibn farabi (abad ke-4 hijrah), yang digelar Al-muallim thani di eranya, mendengungkan semula teori kenegaraan plato yang disadur dengan inti islami yang kuat didalam karyanya, ara ahl al-madinatul fadhilah sehingga dikatakan terlalu ideal dan tak mampu terlaksana.
Di abad ke-5 hijrah pula, betapa masalah
politik ini terlalu hangat dibincangkan oleh para ulama leluhur terdahulu,
sehingga Al-baqillani menulis kitab aqeedah, al-tamhid yang juga
membahaskan masalah politik. Cukup untuk memberitahu bahawa pemilihan
kepimpinan ini terlalu mustahak kerana bersangkut paut hal-hal aqidah kita.
Cukup.
Mungkin muqadimah diatas agak
terawang-awang bagi pelajar perubatan. Bukan kerana isinya berat. Tetapi kerana
terasa tidak ada kaitan yang intim dengan keadaan kita sebagai seorang pelajar.
Kalau ada pun, mungkin akibat rasukan fahaman-fahaman politik tanah air kita
dan pengaruh keadaan setempat kita, Mesir; bumi kelahiran
pembangkang. Meskipun sekali ,perbincangan-perbincangan tentang politik
kalangan kita, ibarat menyalak pada gunung-gunung yang takkan rebah.
Kerana kita memilih untuk menjadi sekadar
anjing kecil yang terbiar dijalan yang hadirnya sebenarnya cuma menyusahkan.
Bukan ingin memperlekeh dan memperkecil usaha sesetengah pihak dalam kalangan
kita yang menyokong apa yang berlaku di Malaysia. Tetapi sebagai seorang
yang digelar mahasiswa, bukan laungan berkobar semangat kosong yang kita
inginkan,kita bukan petani, Tetapi laungan padu dengan esensi dan substansinya
sekali!
kerana satu, kita tidak ingin menjadi penghafal fakta-fakta perubatan yang akhirnya hanya menjadikan kita mesin genius pempreskribsi ubat!
kerana satu, kita tidak ingin menjadi penghafal fakta-fakta perubatan yang akhirnya hanya menjadikan kita mesin genius pempreskribsi ubat!
Pada muqadimah, telah saya nyatakan contoh
semangat leluhur terdahulu bersama karya mereka yang menkonsepsikan corak
politik yang terbaik, jika ingin disenaraikan terlalu banyak dalam tradisi
keilmuan kita, seperti Suluk alMalik fi tadbir al-Mamalik oleh Ibn
Abi Rabi, Kitab al-Irshad oleh aljuwaini, Alghazali dengan al-tibr
ul Masbuk fi nasihat al-muluk, seterusnya karya yang paling popular dan
pasti dikenali oleh pelajar perubatan yang cakna ,kitab Ibnu khaldun,
Al-muqadimah. Dan senarai kitab ini akan berterusan takkan tamat sehingga
kiamat hanya kerana mereka ini adalah jiwa-jiwa besar yang mempunyai
semangat kemahuan untuk melihat sesuatu yang sama, Keadilan!
2.Salakan kedua. Pilihanraya
Pendapat saya, Persatuan perubatan tak
ubah ibarat gabungan kanak-kanak kecil yang berjiwa besar tetapi terperangkap
dalam dunia kanak-kanaknya (lihat facebook ahli-ahlinya)
Mengutip kembali kata-kata Muhammad Iqbal.
Dari semut-semut takkan lahir seorang Sulaiman yang brilliant. Agak
pedas perumpamaan itu. Tetapi itu hakikat. Dengan himpunan kanak-kanak,
Mana mungkin untuk kita mampu memilih seorang pemimpin berkualiti seperti
Mahathir ataupun Nik Aziz. Kerana pemilihan pemimpin dalam pilihanraya
demokrasi hanya berdasarkan pada non-esensial seperti kepetahan
berpidato,Publisiti kempen tarik undi, kemegahan parti (jamaah) dan lain-lain
lagi.
Saya bukan ingin menyalahkan system yang
telah digunapakai oleh Perubatan kerana itu adalah system yang paling mudah
untuk difikirkan oleh kanak-kanak dengan menciplak yang sedia ada atau
meneruskan apa yang telah disediakan.
Dalam islam, secara superfisialnya,
pemilihan pemimpin adalah berdasarkan konsep syura, oleh para autoriti yang
digelar ahl hal wa aqdi, oleh orang-orang yang benar-benar layak dan arif
tentang kemaslahatan ummat. Tetapi oleh kerana kita menggunapakai system yang
sedia ada (pilihanraya/demokrasi/system barat) secara tidak kritis (taken
for granted). Maka yang paling mampu dan akhir untuk kita lakukan adalah dengan
mendewasakan kanak-kanak daripada ketidakmatangan dalam persatuan
kita! Agar mereka sedar dan boleh berfikir dengan adil dan sentiasa
prihatin dengan keadaan sosial pelajar perubatan di Mesir ini.
Dalam Malaysiakini.com, bertarikh 25
november, tulisan bertajuk Mendemokrasikan Syura oleh
Zainulfaqar yaacob menyentuh “abanglong besar” kita dalam berpersatuan iaitu
GAMIS (gabungan mahasiswa islam semalaysia) tentang isu yang sama, pilihanraya.
Beliau mengulas betapa pendemokrasian syura itu perlu kerana ia lebih
menghampiri ijmak. Ya, benar, ummat islam secara kolektif takkan sepakat kepada
perkara yang salah, yang akhirnya menjadi sawa’d al-azhom/ aliran perdana.
Tetapi ,perlu didefinisikan juga ummat islam yang bagaimana?
Kalau semuanya ibarat mesin, yang dipilih
juga mungkin adalah mesin, yang ditunggangi oleh kelompok yang berkepentingan.
Yang berakhir dengan kezaliman.
Mungkin pada awalnya kanak-kanak tidak
sedar, tetapi pabila telah sampai saat kezaliman terlahir, baru kanak-kanak ini
menggelabah untuk melaksanakan revolusi menjatuhkan pemimpin yang dahulunya
mereka sendiri dengan sedar memilih, bak tragedy di tanah yang kita diami
sekarang.
Mungkin skop yang saya gambarkan ini
terlalu besar, umpama ingin memerintah Negara.
Cuba bayangkan andaikata kepimpinan kali
ini hasil samberono daripada ketidakmatangan kita dalam memilih- Yang
dipilih pula adalah daripada kalangan yang tidak layak - Yang kemudiannya
memilih ahli jawatankuasa bagi bironya orang-orang sepertinya (kronisme?)
yang juga tidak layak – Yang selanjutnya berakhir dengan kelembapan biro –
tiadanya aktiviti untuk pelajar- lembab dalam menguruskan kebajikan
pelajar – tidak dapat mengagihkan masa belajar dan berpersatuan-berakhir juga
dengan kemerosotan prestasi pelajaran pemimpin itu- dan kezaliman kepada
ahli dengan kekosongan program membina aqal untuk para ahli sepanjang tempoh
belajar di Mesir. Dan akhirnya pelajar-pelajar yang dahulunya mendapat 10,11,12
A dalam spm, pulang ke Malaysia sebagai sebuah mesin pempreskripsi ubat kaku
yang Berjaya tanpa sebarang dinamika sebagai seorang mahasiswa akibat gara-gara
salah memilih pemimpin. Adakah itu yang kita inginkan?
Maka harapan cerah Negara kita kepada para
pemuda sebagai tonggak pimpinan masa depan seolah telah dilitup oleh awan gelap
yang berat dengan air yang diserap dari lumpur hitam.
Syed Muhammad Naquib alattas,
seorang tokoh pemikir agung tanah air, menggariskan masalah ummat sehingga
kita, ummat islam mengalami krisis tak mampu mengangkat pemimpin yang sejati
adil , adalah berpunca daripada kehilangan adab (the loss of adab),
bermula dengan kekeliruan dalam ilmu (confusion of knowledge) untuk
mengenal-pasti yang benar dan yang salah mengikut kacamata islam yang benar
seperti difahami pendahulu kita, lalu mengakibatkan kita tak mampu lagi untuk
meletakkan sesuatu pada tempatnya, kerana adab merujuk kepada pengenalan
dan pengakuan atas tempat, kedudukan dan keadaan yang tepat dan benar dalam kehidupan
untuk disiplin peribadi agar ikut serta secara positif dan rela memainkan
peranan seseorang sesuai dengan pengenalan dan pengakuan itu, terjadinya adab
pada diri seseorang itu dan pada masyarakat sebagai suatu keseluruhan yang
mencerminkan kondisi keadilan. Hilangnya adab menyirat hilangnya keadilan, yang
ada gilirannya menampakkan kebingungan atau kekeliruan dalam ilmu. (islam
dan sekularisme hal.129)
3. Salakan ketiga, Manusia setengah dewa?
Lantas apakah ciri-ciri pemimpin idaman
kita?
Saya mengungkap tulisan alfarabi dalam
kitab ara ahl madinah alfadhilah, 12 sifat-sifat wajib yang telah
melekat secara natural kepada seorang pemimpin itu, melengkapkan apa yang
disebut dalam Alquran surah alqasas ayat 26 iaitu kuat (qawiy) dan Amanah;
- Sempurna anggota badannya
- Memiliki kecerdasan memahami segala hal, hendaklah dapat memahami persialan dengan baik dan menggambarkan segala sesuatu yang dikatakan orang, kemudian membalas jawaban sebagaimana yang dimaksudkan oleh orang yang bertanya.
- Memiliki ingatan/hafalan yang baik dan kuat terhadap apa yang difahaminya dan yang dilihat, didengar,mahupun diketahuinya.
- Cerdas, memiliki kecerdasan yang luarbiasa dapat menganalisis masalah.
- Sopan, baik penyampaiannya, ungkapannya, lembut budi bahasanya
- Cinta terhadap ilmu pengetahuan ; dan dapat mengambil manfaat terhadap apa yang diketahuinya, suka dikritik dan mudah menerima saranan
- Terpelihara daripada hal-hal yang tidak baik.
- Jujur (amanah) mencintai kejujuran dan membenci kebohongan.
- Memiliki jiwa yang besar secara natural yang diperoleh secara turun temurun.
- Terhormat ; tidak mudah tergoda dengan sesuatu yang bersifat duniawi.
- Adil dan mencintai keadilan; benci kecurangan dan aniaya beserta para pelakunya.
- pemberani ; mempunyai motivasi tinggi terhadap sesuatu yang pada pandangannya baik, penuh tanggungjawab dan tidak lemah jiwanya.
Mungkin kelihatan terlalu ideal dan tidak
berpijak ditanah nyata untuk beroleh pemimpin sesempurna ini walaupun ada
tetapi jumlahnya langka, sedikit sekali. Jadi kriteria diatas ini boleh
sekali dijadikan kayu ukur untuk memilih pimpinan PERUBATAN akan datang.
Memetik kata-kata Boni Hargens, seorang
penulis buku Sepuluh Dosa SBY (pemimpin indonesia) dalam rancangan KICK
ANDY;matinya kebebasan berpendapat di Negara jiran kita
"Sebetulnya, ini
berangkat dari harapan peribadi saya. Saya hanya mahu sampaikan kepada seluruh
rakyat Indonesia bahawa kekuasaan itu sesuatu yang sangat sederhana. Mereka2
yang berkuasa itu orang yang kita percayakan untuk menjadi pelayan kita. Dia
bukan manusia setengah dewa. Malah kalau dia gagal kita pantas marah. Kalau dia
melakukan kekuasaan secara tidak benar, kita berhak menyeret dia ke
pengadilan...harus ditangkap”
Nah! Pemimpin itu adalah
pelayan. Jangan pula pabila telah dipilih oleh rakyat berlagak pula sebagai
Tuhan!.
4.Harapan sang penyalak.
Ini merupakan tahun keempat saya berada di
Mesir sebagai seorang pelajar perubatan, keadaan di mesir saban tahun tidak
lekang dengan permasalahan kepimpinan dan dominasi persatuan. Sebagai seorang
ahli Persatuan perubatan yang cuba prihatin buat pertama kalinya, untuk
meredakan dan merancakkan lagi keadaan disini dengan lebih adil dan dinamik,
kerana kepelbagaian persatuan yang ada di Mesir ini, Mungkin boleh dijadikan
persatuan-persatuan yang sedia ada terwujud ini seumpama di Malaysia,
sebagai parti politik juga, agar, orang-orang dalam perubatan tidaklah
didominasi oleh kelompok yang sama, Perubatan sudah pula di cop sebagai proksi
pembangkang kerana hanya ahlinya rapat dengan asatizah
PMRAM.
Mungkin dengan
mengiktiraf kehadiran persatuan yang lain dengan sewajarnya, dan merombak
semula system pemilihanraya yang sedia ada dengan cara setiap Persatuan yang
ada (IKRAM, ISMA, UMNO, MEDIK MESIR, AKADEMI ALQURAN,GMN dan lain-lain lagi)
mencalonkan ahli-ahli mereka untuk dipertandingkan dalam pemilihanraya
Perubatan kelak. Agar percambahan idea, serta kepelbagaian fikrah itu dapat di
sintesiskan dalam satu wadah iaitu Perubatan yang mewakili seluruh warga sains
kesihatan di Mesir ini. Saya berharap agar persatuan PERUBATAN dapat menjadi
satu lembaga pengurusan pelajar yang lebih Dinamik satu masa nanti dengan
penerapan system ini.
Selain itu, dapat juga
kita rasakan olok-olok suasana sebenar politik mahasiswa seperti di Malaysia.
Agar kita lebih matang dalam membuat keputusan dalam mengharungi cabaran.
Tetapi, ini cumalah idea mentah dari seorang pemerhati yang mengharapkan ianya
terjadi. Ia boleh diambil-peduli dan juga boleh ditidak-pedulikan. Terpulang
kepada pemimpin yang meneraju Perubatan kelak.
Sekian.
*Penulis merupakan
pelajar tahun 4 universiti Mansoura yang kuat berkhayal.
3 comments:
terus tulis. tau
Baru selesai baca, bagus penulisan ni..sebab diterangkan dengan bahasa yang mudah difahami umum, dan mudah utk diaplikasikan pada persatuan2 lain yang bukan semestinya persatuan pelajar perubatan sahaja.
Post a Comment