Oleh: Ahmad Baihaqi saharun
Allahumma Solli Ala Muhammad Waa la Alihi Mohammad.
Pendahuluan.
Makalah ini ditulis untuk pemahaman ringkas tentang Ilmu Tasawwuf yang kerapkali dimomokkan dengan kesesatannya dan pemahaman Ahlus-Shufiy yang kononnya bersifat Islam Juz’ie dan tidak pragmatik dalam bergerak pada arus ke”modern”an ini. Acapkali juga kita didengarkan label Bid’ah dihambat kepada golongan sufi ini oleh puak-puak Salafi-Wahhabi (literalist/zahiri) yang (unconsciously) membenci tradisi keilmuan islam turun temurun juga menyempitkan ruang-ruang metafizik islam. Tidak kurang juga yang mengatakan Tasawwuf itu bukan daripada Ilmu islam kerana tidak terdengar pada zaman Rasulullah akan perkataan tasawwuf itu sendiri. Semoga siri makalah-makalah pendek ini memberi pencerahan serta penjelasan kepada yang keliru dan mencari.
Ar-Risalah dan Ilmu Tasawwuf.
Diutusnya Nabi dalam setiap zaman pada kaum-kaum tertentu membawa Ar-risalah dari langit yang mengandungi segala-gala ketentuan yang bersesuaian dengan waktu dan tempat sesuatu kaum. “Ar-Risalah Islamiyyah” adalah risalah terakhir yang dibawa oleh Nabi Muhammad S.A.W . Risalah ini bersifat sejagat (universal), bersepadu (integrity) dan bersesuaian pada reality masani dan seluruh tempat di bumi (waqi’iyyah).
Ar-risalah islamiyyah (Al-quran) adalah misi Nubuwwah yang menggariskan tugas-tugas/tanggungjawab Rasulullah diutuskan dan juga tanggunggjawab itu diwariskan kepada seluruh ummat manusia setelah kewafatan baginda. Tugas-tugas Rasulullah jika diklasifikasikan sebenarnya berdiri diatas 3 unsur dasar yang saling berkait dan melengkap.
Surah Albaqarah 2 : 151
Sebagaimana telah kami utuskan kepada kalian seorang rasul daripada kalian yang membacakan ayat-ayat kami kepadamu (1) dan mensucikanmu (2) dan mengajarkan kamu Al-kitab dan hikmah (3) dan mengajarkan kamu apa-apa yang belum kalian ketahui .
Tiga unsur pokok risalah itu adalah seperti berikut
- Tazkiatunnufuz: penyucian jiwa –rujuk (Asy-syams 7-9)
- Tablighul Ahkam :Menyampaikan hukum-hukum islam, perintah halal haram, urusan ibadah dan muamalah. Setelah zaman Khalifa Ar-Rashidin tugas ini dipegang oleh ahlu-l fuqaha’(ulama)
- Tanfizul Hukm : Melaksanakan Syariah/undang-undang dan mengatur ummat dalam urusan agama dan kehidupan dunia.Misi ini seharusnya dipenuhi oleh khalifah (umara’) daulah islam sepanjang masa.
Setelah ketiadaan nabi,3 pokok Misi Nubuwwah (Tabligh, Tazkiah, Tanfidz) ini diteruskan oleh para Khalifa-Arrashidin sehingga berakhir pada zaman Fitnah Saidina Ali K.r.w.h. Sejajar dengan berpecahnya umat islam dalam urusan politik dan lain-lain, bulatan 3 misi nubuwwah tersebut juga terpisah mengikut arus perkembangan daulah islamiyyah iaitu-
- Ta’lim- Ulama Feqah
- Tarbiyah/tazkiah- Ulama Tasawwuf.
- Siasah- Amirul Muminin (khalifah)
Tasawwuf dan Rukun Ad-dyn
Dalam hadith Jibreel daripada Umar ibn Al-khattab yang menyebut bahawa Ad-dyn itu berdiri dengan 3 Rukun dan elemen yang melengkap. Elemen yang pertama adalah Rukun Islam yang bermaksud Ciri-ciri atau hal-hal Zahiriyyah (aktiviti nyata) seseorang untuk bergelar Muslim.Kedua, adalah Rukun Iman iaitu aqidah (I’tiqad qolbu) keyakinan terhadap haqiqat inti Islam yang berdiri pada 6 rukun.Manakala Ihsan pula hanya diterangkan sebagai “An ta’budallah Ka’annaka tarahu, Faillam Takun Tarah, Fainnahu Yaraka”.
Rukun Ihsan diterangkan para ulama sebagai sisi roh dalam hati ; suatu Mushahadah (penyaksian), Muraqabbah (perasaan diperhati Allah) dan ahwal keruhanian yang penyudahnya adalah Dzauq Wijdani (perasaan kewujudan), Maqamat Irfaniyyah (Aarif billah@ mencapai makrifatullah) dan ilmu-ilmu wahbiyah (hikmah). Para ulama menamakan sebagai Haqiqat.
Ilmu Tasawwuf adalah ilmu yang membincangkan secara dalam tentang haqiqat, Qaedah menggapai hakikat dengan menerangkan erti ihsan secara amali menurut ulama tasawwuf yang telah mencapai ma'rifatullah menurut qaedah yang tak bertentangan dengan kedua rukun yang pertama.
Aljurjani menyebut,
“Thariqat adalah perjalanan khusus para Salik (penempuh mujahadatunnafs menuju ma’rifatullah (hakikat) ) dengan menempuh pelbagai tingkatan kerohanian dan maqamat.”
Hakikat yang mana adalah matlamat kepada ke-dua rukun yang pertama iaitu rukun Islam dan Rukun Iman .
Dari surah hujurat ayat 14.
Maksudnya: Orang-orang badwi itu berkata bahawa kami telah beriman,"katakanlah (kpada mereka wahai muhammad bahawa) kamu belum beriman, tetapi katakanlah kami telah tunduk (islam) kerana iman belum masuk dalam hati kamu.
Daripada surah hujurat ini menjelaskan bahawa islam,iman dan ihsan adalah peringkat-peringkat yang perlu ditempuhi seorang muslim dan ilmu tasawuf adalah yang membicarakan tentang peringkat yang tertinggi iaitu ihsan.
Dengan berakhir makalah 1,moga-moga terjawab bagi mereka yang mengatakan bahawa Tasawuf bukan lahir daripada islam bahkan ia tumbuh besar dalam lingkungan ilmu islam, salah satu rukun agama islam dan hakikat kepada syariah dan akidah islam.
"An Yumitaka Al-haq Anka Wayuhyika Bihi"
Dia mematikanmu, dan menghidupkanmu dengan-Nya
(imam junaid al-baghdadi)
Rujukan-
madkhal tasawwuf Ashohih alislamiyyah, Qawaid At-tasawwuf
Makalah seterusnya insyaAllah- Prinsip dan dasar-dasar ilmu tasawwuf islam
~baihaqi
Mazhabku mazhab Cinta, bawaan Khalafi
No comments:
Post a Comment