Inna Addyn 'inda Allahi Al-Islam
Ad-Dyn.
Pemahaman umum kita secara kasar bermaksud Dyn itu adalah cara hidup. Jadi pema'naan bagi ayat suci di atas terang bermaksud "sesungguhnya cara hidup di sisi Allah hanyalah Islam.
Jadi, sejauh mana cara hidup itu mencapai maksudnya (hadaf) iaitu mengikat insan dalam setiap gerak geri dalam kehidupan dan juga bagaimana sebenarnya cara kita untuk memahami, mema'nai, mendalami serta menghayati perkataan Ad-Dyn yang diabadikan Tuhan sebagai satu garis panduan yang tetap dalam meniti setiap aspek kehidupan.
Sesungguhnya bahasa Arab adalah sebuah bahasa yang telah mencapai satu kematangan pertumbuhan bahasa yang luarbiasa, dan setiap terbitan perkataan itu punyai maksud-maksud yang mendalam dan tidak sama antara setiap satu yang lain.
Apabila kita teliti maksud perkataan Ad-Dyn itu berakarkan daripada perkataan Dana ataupun Dayn yang kita biasa baca dalam doa mathur, warid daripada nabi iaitu inna nauzubika min ghalabat Ad-Dayn iaitu bermaksud Hutang.
Justru, untuk memahamkan Addyn itu pada ma'na yang sewajarnya adalah dengan menghayati sedalam-dalam bagaimana keadaan seorang Penghutang yang perlu melunaskan hutang-hutang yang dipinjamnya daripada Pemiutang.
Pertama sekali, seorang Penghutang itu perlu 'arif, sedar dan maklum akan pinjaman yang telah dipinjam , dan mengambil kira juga tahap qudrat dan hartanya untuk memulangkan semula setiap pinjaman itu dengan qadar serta kualiti yang sama.
Cuba bayangkan bagaimana keadaan kegembiraan seseorang yang memohon pinjaman bank untuk perniagaannya setelah sekian lama memohon akhirnya diluluskan. Ketika itu mungkin sahaja dahinya terus berbengkak akibat sujud tanda kesyukuran.
Bayangkan pula bagaimana keadaan seorang penghutang yang tidak mampu untuk melunaskan hutang-hutangnya. Ambil contoh kasus berkenaan mangsa-mangsa Along di negara kita. Kehidupan mereka seolah sentiasa dalam ketakutan dengan ancaman-ancaman yang pelbagai.
kehidupan seorang penghutang pula dapat digambarkan dengan perasaan berwaspada dan berhati-hati dalam semua hal yang melibatkan muamalat. Seboleh sungguhnya untuk tidak membazir dan juga meningkatkan hutang piutangnya dan sebaik mungkin untuk berusaha menambahkan keuntungan bagi melunaskan pinjamannya.
Jadi keadaan hidup penghutang itu adalah ambivalence, gabungan antara dua perasaan yang bertentangan iaitu antara takut (waspada) dan gembira (bersyukur)
penghayatan keadaan ,situasi dan pengalaman inilah yang perlu untuk kita sematkan pada setiap gerak tubuh kita dalam merasakan bahawa wujudnya tugas-tugasan ataupun tanggungjawab yang mengikat kita pada setiap saat kita hidup dan inilah kehidupan sewajarnya untuk kita hidupi.
Sebutkan, lahir sahaja kita dibumi adalah satu pinjaman maka seluruh yang telah wujud sebelum kita juga justru adalah pinjaman dan kematian kita adalah waktu pemulangannya.
Ketika Allah meletakkan hanya Islam sebagai Addyn Nya. Maka itulah satu-satunya jalan bagi memberikan semula segala-galanya kepada yang berhaq memilikinya.
Kenapa Islam? Kenapa hanya Islam, Dyn yang sewajibnya untuk kita anuti? Dan kenapa namanya Islam? kenapa tidak nama digelar sebagai Mohamedism bersempena tokoh yang mengembangkan agama ini seperti nama-nama Kristian, Buddha ataupun Zarathustra. Dan kenapa tidak sahaja kita gelarkan sebagai Agama ALLAH sempena Tuhan Esa yang kita sembah?
Apabila Ad-Dyn itu adalah "keadaan berhutang" maka satu-satunya tujuan kehidupan kita adalah untuk menyerah semua pinjaman. Maka Islam itu sendiri yang berakar kata sallama iaitu menyerah menjadikan ia hanya jalan yang satu untuk kita telusuri sepanjang hayat.
bersambung bahagian kedua .
---------
~baihaqi
Faham Dyn adalah asas akhlak.
No comments:
Post a Comment