Nov 9, 2012



Tahu betapa gembira hati aku bila mama beritahu ingin bawa satu famili termasuk abah pergi umrah tahun hadapan?

Abah jarang bersetuju untuk perkara seperti ini kerana sakit. tetapi tidak kalini.

dan sekarang aku tak tahu, samaada mampu untuk belajar dan jejak kaki ke hospital atau tidak. Kelibat abah dimana-mana. Bunyi jejak tongkat. Muka sembab, sembam dan lesu, gerak lemah kaki yang selangkah demi selangkah  bertatih sambil memegang-megang sisi jalan,  ataupun yang dipimpin tangannya oleh anak dan isteri, yang ditolak atas wheelchair, bahkan butir-butir pil.

Semuanya berlaku di hospital adalah abah.

Di rumah, ketika masuk ke bilik, katil dan tilam hanya menyugulkan aku. aku sentiasa berfikir untuk belikan abah satu katil dan tilam yang empuk yang mahal untuk dia baring, terlentang dan tidur dengan lena sambil duit siling dari saku abah jatuh berterabur, lalu aku kutip satu persatu jadi sangu untuk beli jajan seperti waktu kecil dulu. dan ketika dia tertiarap, aku duduk atasnya sambil mengambil upah mencari uban rambut tuanya.

Dan aku tahu  aku tak boleh untuk mendongak ke langit, mencebik dan menjerit terlolong merintih untuk menyalahkan yang  kenapa saat paling jauh aku dengan kecintaan aku, waktu aku ambil keputusan untuk tidak balik beraya, waktu aku paling kerap aku berfikir macamana nak gembirakan abah tika pulang bulan 12, Tuhan ambil semula abah.

aku mengimani takdir, tetapi menelannya terlalu pahit.

kali terakhir aku telefon ke Malaysia ketika mama menawarkan untuk bercakap dengan abah di hospital aku tolak mentah-mentah. dengan alasan bateri handphone dah weak.  Bodoh.

dan sekarang aku tak tahu bila kali terakhir aku bercakap dengan abah. Kerana abah kurang bercakap, mungkin kerana sakitnya. dan aku tak tahu untuk bercakap apa. atau yang sebenarnya aku terlalu bodoh untuk tidak bertanyakan segala pengalamannya dalam hidup yang terlalu jarang dia kongsikan pada anak-anak.

Aku tidak boleh salahkan waktu sekolah aku dihantar ke asrama yang hanya merenggangkan lagi hubungan famili. atau perlukah aku salahkan kerajaan malaysia yang korup dan tak pandai memerintah menyebabkan para ibubapa terpaksa bertungkus-lumus bekerja untuk mencari nafkah dan menyediakan kehidupan yang selesa untuk keluarga. ataupun kedua-duanya sekali yang mencuri waktu-waktu yang sedikit untuk aku meluangkan lebih masa dengan abah ketika masih kelihatan sehat?

Sekurang-kurangnya biarlah aku tahu tentang abah. dan bila suatu masa nanti bila aku dah ada isteri dan anak-anak, aku boleh ceritakan yang atuk kepada anak-anak aku adalah begini dan begitu. dan sekurang-kurangnya ada secebis dua cerita yang aku boleh banggakan.

aku tak tahu bagaimana waktu abah muda, bagaimana  mama kahwin dengan abah atau apa saat bahagia mereka. aku hanya mendengar segala cerita dari mama. dan segala cerita itu intinya kesedihan. Cerita kehidupan keluarga tak lari dari masuk keluar hospital, kemalangan, operate kaki, potong jari, ubat-ubat sana-sini, dan lain-lain yang tak perlu aku sebut untuk menambah duka aku sendiri.

Sekarang. perbualan dengan mama di viber, atau telefon menjadi makin ringkas, makin kurang, makin tak tahu untuk berbual apa. Soalan rutin khabar kepada abah sudah tiada. atau sampaikan salam. atau suruh abah jangan nakal-nakal dan jaga kesihatan.

Rasa seperti separuh kotak fikir aku direnggut dan lidah jadi kaku, kelu.

Aku masih berharap, walau terlalu seni, ketika abah masih ada. yang Tuhan pulihkan abah sepenuhnya. sehat dan cergas. yang boleh aku temankannya menaiki motor ke pasar pada hari jumaat , selasa dan rabu. membeli barang keperluan rumah yang banyak. Jagung. apam balik. taufufa dan air tauhu. Dam bersolat berimamkan abah Atau menceritakan tentang buku-buku berat yang aku telah baca walau sekadar untuk bermegah dan minta dipuji. Kerana aku sedar, aku bukanlah anak yang boleh membanggakan abah dan mama. Aku jarang sekali mendapat no 1 , 2 atau 3 dalam peperiksaan seperti adik beradik yang lain, yang membolehkan abah datang ke sekolah rendah atau menengah dahulu untuk melihat aku naik atas pentas ambil hadiah sambil tersenyum dan memberitahu kepada kawan-kawannya atau ayah budak-budak lain yang aku adalah anaknya. Yang pandai.

Tambah-tambah lagi, aku bukan anak yang baik.

Dan mungkin, aku mengambil medik dengan keputusan spm yang cukup makan dan biasa-biasa untuk melayakkan diri dalam bidang ini, hanya untuk buatkan abah dan mama berbangga yang ada salah seorang anaknya belajar di luar negara, menjadi doktor.

Mungkin.

Aku boleh terus tulis. dan sambung menulis. untuk menyatakan terkilannya aku. dan betapa banyak perkara yang aku ingin lakukan untuk abah. dan betapa banyak dosa-dosa aku terhadap abah yang tak sempat aku pohon maafnya. dan rindu aku untuk salam dan cium dahinya. ambil gambar raya bersama-sama dengan memakai baju merah menyala perkahwinan abang pik.

Terlambat. semuanya telah berlaku.

dan sehingga kini aku masih tak dapat lagi lihat foto terakhir abah yang adik tangkap.

Apa yang aku mampu, memujuk diri aku sendiri, dengan bait-bait yang aku susun. setiap kali teringatkan abah dan menangis.

Atau menonton jenaka Modern Family untuk merawat duka. dan mengimpi untuk mengulangtayang masa lalu dan membuatkannya gembira sebegitu...

Dan yang sebenarnya. dalam lubuk hati tak berdasar. Aku mengakui,

aku masih belum lagi mengenali abah.

....

Dan aku sangat rindu.




2009




Moga Tuhan pelihara abah dan sayanginya di sana. Amin


~



9 comments:

Abesa007 said...

Tetap tabah baihaqi, ada negeri yang lebih kekal selepas dunia. Bergembiralah untuk abah kamu yang telah dulu bertemu pencipta.

'ammar ziyadi said...

semoga dia aman di sana.

cukuplah kematian itu sebagai satu peringatan buat kita.

Nur said...

Ini sangat mengharukan..kekal kuat,ya.

Anonymous said...

berat mata memandang, berat lg bahu kamu yg memikulnya.

takziah.

inshaAlah, masih lg boleh menggembirakan abah walaupun abah sudah di sana. doa anak yg soleh akan terus menjadi satu rahmat buat abah. teruskan doa dan berdoa untuk abah.

buatlah seberapa byk kebaikan dan yakinlah ada saham yg mengalir untuk abah. semoga abah kamu tersenyum di sana dgn rahmat doa dan kebaikan daripada anak-anaknya yg soleh dan solehah

Imran said...

Sabar Bai. Kau masih punya teman-teman :) Semoga beliau bahagia di sana. Jangan biarkan lidah dan bibir basah; lekang dari berdoa.

fuzzyskuzzy said...

takziah. i can't say i know how you feel because i don't.. but i know how it feels to lose someone so close to you. and yes, studying medicine and learning about all those disease and its cure, for me i sometime wish that i knew this long way before, so that i can treat them myself. or prevent. but we can't really change fate. it's written like that.

teruskan kuat, tabahkan hati. ada sebab kenapa Allah pilih kita diuji begini. :)

al-fatihah. semoga mereka aman di sana.

baihaqi said...

terima kasih semua :)

@imran. ni imran yang mana ya?

husni said...

sumpah sedih Bai..

damn. rasa cam nak peluk mak ayah aku skang gak.

baihaqi said...



bianglala menangis? :p