Jul 17, 2011

Masalah kerosakan ilmu


Cabaran yang sebenarnya kita hadapi adalah masalah kerosakan ilmu. Keadaan ini berlaku akibat kekeliruan kita sendiri mengenainya serta juga meresapnya bermacam pengaruh yang datang dari  falsafah dan sains serta cara dan gaya  pemikiran ekonomi dan politik m kebudayaan dan tamadun Barat moden.  kekeliruan pemikiran iliah timbul akibat perubahan dan penyekatan yang dilakukan terhadap ma'na-ma'na istilah kunci yang menayangkan pada ru'yat kita pandangan alam yang bersumberkan Wahyu. 


Rentetan dari kekeliruan pemikiran ilmiah ini menyatakan akibatnya dalam kesongsangan akhlak dan kebudayaan yang menyatakan akibatnya dalam kesongsangan akhlak dan kebudayaan yang menandakan kemerosotan ilmu mengenai agama dan iman yang berikut darinya serta nilai-nilai dan budipekerti akhlakiah . Perubahan dan penyekatan ma'na-ma'na istilah kunci itu berlaku akibat tersebarnya pensekularan sebagai suatu rencana falsafah , yang menawan hati adn akal yang terperangkap dalam jaringan peristiwa genting  mengenai erti kebenaran dan ma'na diri .   

 
Peristiwa-peristiwa genting ini pula telah menjadi nyata akibat sistem pendidikan yang sudah disekularkan dan yang menyebabkan  penyelewengan , kalaupun bukan pemutusan dari akar-umbi sejarah yang telah dibina kukuh oleh leluhur bijaksana bersinarkan hikmah atas landasan  yang bersemangatkan agama . Harus tampak bahawa masalah yang menghadapi kita ini sedemikian mendalam sifatnya merangkumi semua unsur-unsur asas pandangan  hidup kita sehingga tiada dapat dia diatasi  dengan semudah cara hukum-hakam fikah dan tindak-tanduk politik.  


Undang-undang dan tatatertib dalam masharakat hanya boleh mendapat tempat yang wajar apabila pengenalan akan kebenaran  bersalahan dengan kepalsuan, dan akan yang hak bersalahan dengan yang batil , diikrarkan serta diperteguhkan dengan pengakuan tentang apa yang dikenali yakni dengan tindakan yang bersesuaian dengan kehendak kebenaran dan hakikat yang dikenali. Dan ini hanya akan tercapai dengan cara mnyerapi ilmu yang betul dan dengan cara yan betul bagi menyebarkannya . 


Jadi janganlah kita  membazirkan tenaga habis-habisan berdayaupaya cuba mendapatkan jalan keluar dengan meraba-raba dalam lorong-lorong hukum-hakam fikah berselit-sepit tetapi kita harus tumpukan tenaga bergelut demi mengatasi masalah pokok yang terlibat mesra dengan kefahaman yang berul dan kesedaran yang ikhlas akan agama dan pandangan hidup yang ditayangkan olehnya, kerana itulah yang berkeperluan langsung pada diri insani, pada ilmu dan tujuan hidupnya, pada nasib terakhir.


 -Mukasurat 41, Tinjauan Ringkas Peri ilmu dan Pandangan Alam, SMN alattas

1 comment:

Anonymous said...

mungkin ada beberapa kalimah tersalah eja kot?